Perkongsian dan Persaudaraan dengan Pemuda-pemuda dari Sabah dan Sarawak

oleh Stanley Lee

Pemuda-pemuda di Katedral kami berasal dari pelbagai tempat di Malaysia. Khususnya, sejumlah besar golongan pemuda yang menghadiri pelayanan Bahasa Malaysia dan Iban adalah penghijrah Sabah dan Sarawak yang telah menetap di Kuala Lumpur untuk peluang pekerjaan dan pelajaran. Sejumlah pemuda-pemuda dari pelayanan Iban adalah askar-askar Sarawak yang ditempatkan di kem-kem tentera yang terletak di Semenanjung Malaysia.

Terdapat juga sejumlah kecil orang Sabah dan Sarawak di Katedral kami yang menghadiri pelayanan Bahasa Inggeris. Ian Jenon Leslie dan Alquin Frences Patres adalah pemuda-pemuda dari Sarawak yang menjadi ahli pelayanan SMACC 2. Ian telah menetap di Kuala Lumpur sejak tahun 2007, di mana dia belajar Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia manakala Alquin datang ke Kuala Lumpur pada tahun 2014 untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Kedua-dua mereka adalah pekerja penuh masa di Kuala Lumpur sekarang.

Sebagai orang asing di sebuah bandar baru yang jauh dari rumah, ramai pemuda-pemuda dari Sabah dan Sarawak sering menghadapi pelbagai cabaran dalam menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang pantas di Kuala Lumpur. Bahasa dan budaya adalah halangan yang biasa dilalui: Kebanyakan orang-orang Sabah dan Sarawak biasanya bertutur dalam Bahasa Malaysia. Oleh itu, ia adalah amat sukar bagi mereka untuk bergaul dengan orang-orang Kristian di Semenanjung Malaysia yang sering berbahasa Inggeris atau berbahasa Cina. Kekurangan pengangkutan awam di tempat tinggal mereka dan kesesakan lalu lintas pada waktu petang juga menambah kesusahan bagi mereka untuk menghadiri aktiviti-aktiviti gereja, terutamanya pada hari kerja. Kerinduan terhadap kampung halaman juga merupakan satu lagi cabaran di kalangan mereka kerana ramai antara mereka hanya akan kembali rumah satu atau dua kali setahun untuk Kaamatan, Hari Gawai atau Hari Krismas. Kehidupan dalam sebuah komuniti yang tidak mengenali Yesus juga adalah suatu cabaran bagi mereka kerana ia adalah amat berbeza dengan kepercayaan yang kuat dalam Yesus di kalangan keluarga mereka.

Katedral kami telah berhubung secara aktif dengan pemimpin gereja-gereja di Sabah dan Sarawak untuk membuat hubungan dan mengenalpasti pemuda-pemuda Kristian yang berpindah ke Kuala Lumpur. Terdapat kursus-kursus kepimpinan dan kelas-kelas Alkitab yang dianjurkan dalam Bahasa Malaysia dan Iban untuk membolehkan pemuda-pemuda Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan pengetahuan Alkitab dan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai identiti mereka sebagai orang Kristian. Pertemuan doa dan kegiatan sosial juga kerap diadakan di gereja untuk membina hubungan dan persaudaraan di kalangan masyarakat pemuda-pemuda Kristian dari Sabah dan Sarawak.

Bagi Ian dan Alquin, Katedral kami adalah suatu keluarga gereja yang memberi banyak sokongan kepada mereka di Semenanjung Malaysia. Ian berkongsi tentang pelbagai peluang yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat di pelayanan-pelayanan dan dia dapat belajar tentang Alkitab melalui khutbah. Alquin juga mendapati masanya di St. Mary’s sebagai suatu galakan kepadanya kerana dia dapat mendengar khutbah yang taat kepada Alkitab dan ahli-ahli Katedral kami juga menyambutnya dengan ramah pada setiap hari Ahad.

Terdapat banyak cara-cara yang kita boleh guna untuk menjadi keluarga gereja yang menyokong saudara-saudari kita dari Sabah dan Sarawak. Kami bercakap dengan Gloria, Eyuda, Yunis, Efney, Aldrin, dan Willy dari pelayanan Bahasa Malaysia untuk mendapat lebih maklumat lanjut: Kami boleh menyediakan pengangkutan untuk pelajar-pelajar yang datang ke gereja; menawarkan tempat tinggal jangka pendek semasa mereka menetap di Kuala Lumpur; membantu dalam segi kewangan dengan menyediakan subsidi bagi aktiviti gereja; membuat mereka berasa diterima dan selesa tanpa bahasa sebagai penghalang di antara mereka dan komuniti berbahasa Inggeris atau Cina.

Marilah kita di Katedral St. Mary meneruskan usaha untuk menjadi masyarakat yang penyayang dan mengambil berat terhadap saudara-saudari kita dari Sabah dan Sarawak!


Artikel ini ditulis dengan bantuan Gloria Ng, Carbella John, Alquin Frences dan Ian Jenon.