Kelas Minggu: Dasar Anak-Anak Kita

Jesica Laining dan Carlbella John berkongsi dengan Stanley Lee maklumat tentang Kelas Minggu BM dan Iban di Katedral St. Mary di mana kanak-kanak dibimbing untuk mengenali dan belajar tentang Tuhan Jesus.


Kelas Minggu BM (Jesica Laining)
Yesus sendiri mengatakan bahawa “Biarlah anak-anak itu datang kepada-Ku, Jangan menghalangi mereka, sebab orang – orang seperti itulah yang empunya kerajaan Allah” (Markus 10:14).

Pelayanan Sekolah Minggu Bahasa Malaysia (BM) telah ditubuhkan lebih daripada 10 tahun dan dimulai oleh beberapa orang pengajar. Pada masa kini, pengajar sekolah minggu yang terlibat dalam pelayanan ini seramai 20 orang. Dengan jumlah pengajar yang ramai ini, kerjasama pengajar adalah sangat penting dalam mewujudkan komuniti yang penyayang khususnya kepada kanak – kanak. Pengajar sekolah minggu BM telah menyertai Bengkel Sekolah Minggu baru – baru ini pada 28 Jan 2017 untuk mempertingkatkan diri mereka.

Bagi penglibatan kanak –kanak dalam sekolah minggu BM pula sangat memberansangkan iaitu sekitar 30 orang. Oleh kerana golongan kanak – kanak sekolah minggu bermula dari golongan bayi hingga kanak – kanak 12 tahun, Pelayanan BM telah membahagikan sekolah minggu BM kepada dua kelas iaitu kelas satu (0 – 4 tahun) dan kelas dua (4 – 12 tahun).

Antara aktiviti yang akan dilakukan setiap minggu adalah doa pembukaan, permainan atau pemecahan ais, Pujian Penyembahan, ruangan Firman Tuhan dan ayat hafalan serta kraf tangan. Dengan ini, golongan sekolah minggu BM bukan sahaja disayangi, tetapi mereka juga boleh menunjukkan kesaksian kepada orang sekeliling mereka.

Kelas Minggu Iban (Carlbella John)
Walaupun Ministri Iban telah wujud di Katedral St. Mary Kuala Lumpur sejak 2002, kelas minggu Iban hanya bermula pada tahun 2009. Kelas minggu Iban telah dimulakan oleh Puan Joanna, isteri kepada Rev Iben Arang kerana bagi pendapat beliau, kelas minggu adalah amat penting bagi kanak kanak yang berumur 12 tahun ke bawah untuk belajar dan memahami firman Allah.

Kelas minggu Iban hanya terdiri daripada 1 kelas yang mengandungi 5 sehingga 6 orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun semasa ia baru dimulakan. Setelah beberapa tahun, kelas minggu Iban dibahagikan kepada 2 kelas, iaitu kelas yang pandai membaca dan tidak pandai membaca. Namun, sejak tahun 2014, jumlah kanak-kanak yang hadir kelas minggu Iban telah meningkat kepada anggaran 40 kanak-kanak dan mereka dibahagikan ke 4 kelas mengikut umur mereka.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang sesi pembelajaran kelas minggu Iban adalah pujian penyembahan, pembelajaran dari Alkitab, kraf tangan, permainan, dan ayat hafalan daripada minggu sebelum.

Sebagai kesimpulan, pihak kelas minggu Iban berharap agar gereja St Mary Cathedral akan dapat terus membantu ministri ini dari segi aspek kewangan, supaya kelas minggu Iban dapat menjalankan aktiviti seperti latihan untuk guru-guru, aktiviti tahunan Sunday School iaitu Cuti Ceria Kanak-Kanak dan Hari Khas Servis kanak-kanak.