Pada sekitar tahun 2012, Rev John telah dihubungi oleh pihak Institut Jantung Negara (IJN) untuk menenangkan seorang ibu, yang mana anaknya berada dalam keadaan kritikal pada masa tersebut. Namun begitu, anak beliau telah meninggal dunia selang beberapa hari selepas itu. Setelah itu, Rev John mendapat tahu bahawa ramai orang Sarawak menerima rawatan di IJN. Itulah permulaan program lawatan ministry social Iban ke NHI.
Carbella John and Stanley Lee menulis tentang ministry tersebut.
Program melawat ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur telah bermula sejak 2012. Program ini dijalankan untuk menjaga kebajikan dan membimbing orang Sarawak yang menerima rawatan di IJN. Hal ini kerana, kebanyakan orang Sarawak menerima rawatan di IJN tidak fasih berbahasa Malaysia lebih-lebih lagi loghat orang Semananjung. Ada juga yang tidak boleh membaca serta tidak tahu proses mengendali pendaftaran di IJN. Oleh itu salah seorang pastor di gereja St Mary’s Kathedral, iaitu Rev John Layang bersama isteri beliau iaitu Puan Roselina Sumin dan Puan Linda Crocker, mengambil inisiatif melaksanakan program sukarelawan ini bagi membantu dalam pengurusan semasa pesakit menerima rawatan di IJN.

Rev John seringkali melakukan lawatan ke IJN pada hari Isnin, Khamis dan Sabtu, bergantung pada keadaan. Terdapat pihak yang bermurah hati memberi bantuan dari segi kewangan dan keperluan asas kepada program ini, seperti team choir gereja St Mary’s Kathedral, Rumah Sarawak. Bagi pihak Rumah Sarawak selalunya akan menguruskan proses penghantaran
jasad ke Sarawak.
Seperti yang kita ketahui, program ini bukanlah satu kerja yang mudah untuk dilaksanakan, malahan akan menggunakan banyak masa dan tenaga diri seseorang. Namun begitu terdapat sesuatu yang menggalakkan pihak-pihak tertentu untuk terus melayani di dalam program ini. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sekarang Aku memberikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikutKu” (Yohanes 13:34-35).
Ayat-ayat ini menyatakan bahawa seorang Kristian telah menerima kasih karunia daripada Allah melalui Yesus Kristus yang telah mati untuk kita demi membebaskan kita daripada hukum dosa. Oleh sebab Yesus telah menunjukan kasihnya kepada kita, kita juga harus berkongsikan kasih Yesus kepada orang lain. Ayat-ayat ini telah memberi dorongan kepada pihak-pihak tertentu yang melayani di dalam program ini. Bukan kerana untuk menunjukkan kebaikan diri kita kepada orang luar, namun untuk memuliakan nama Yesus kepada orang yang masih belum mengenali Yesus sebagai Juruselamat mereka.
Pihak-pihak yang melayani dalam program ini juga mengambil peluang yang ada untuk berkongsikan berita baik mengenai Yesus Kristus kepada pesakit. Walaupun pada permulaanya, tiada perkembangan yang dapat dilihat, namun setelah beberapa waktu, terdapat beberapa pesakit yang menerima Yesus Kristus sebagai juruselamat secara pribadi.
Seperti yang kita tahu bahawa majoriti penduduk Sarawak beragama Kristian namun masih ramai yang mengikut kepercayaan nenek moyang ataupun pagan. Walaupun mereka mengetahui Yesus itu Tuhan namun kepercayaan mereka kepada Yesus masih berbelah bagi.

Namun, ketika mereka berada di IJN, mereka telah melihat pelbagai mujizat yang berlaku. Terdapat juga berlaku, di mana pesakit yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, pada akhirnya mereka sihat seperti biasa. Kesaksian seperti ini telah memberikan keyakinan kepada mereka tentang kekuasaan Allah. Mereka percaya bahawa Yesus Kristus itu merupakan Allah yang bukan sahaja menyembuhkan penyakit, tetapi lebih daripada itu dan merupakan Juruselamat yang menyelamatkan kita daripada hukuman dosa. Ramai juga daripada mereka menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka secara pribadi semasa mereka di IJN. Lanjutan kepada penerima mereka itu Rev John telah menghubungi Pastor yang berdekatan dengan mereka tinggal di Sarawak untuk tindakan susulan.
Harapan pihak yang terlibat dengan program ini agar lebih ramai generasi muda akan melibatkan diri dalam program seperti ini. Hal ini supaya generasi muda dapat berkongsikan berita baik kepada pesakit dan untuk mengingatkan mereka agar terus berdoa serta berdiri teguh dalam iman Yesus Kristus.
